About This Blog

Bermula dengan rasa kagum dan terdorong, Blog ini didedikasi untuk saudara Muhammad bin Sabu, seorang pejuang rakyat sekian lama dan seorang ahli politik Islam di Malaysia. Blog ini mengongsi pelbagai topik kemasyarakatan, topik berkaitan Muhammad Sabu dan perjuangannya. Saya amat berbesar hati jika pelawat semua dapat kongsikan maklumat yang berkaitan dengan tema blog ini

Sunday, 12 June 2011

Selain kemenangannya yang memberi persepsi, semangat dan fenomena baru kepada rakyat, kalangan PAS dan PR, abang Mat juga telah membuka minda dan ketebukaan mengambil i'tibar. Harap abang Mat dan ahli PAS dapat terus istiqamah. 

'Kalau PAS tak ambil...' - Mat Sabu dibidas
Jun 13, 11 Muhammad Sanusi Md Nor


Saya terpanggil memberi komentar terhadap kenyataan Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS yang baru dipilih, dalam interview beliau dengan Malaysiakini bertarikh 10 Jun lalu.


mat sabu pasNasihat terus terang beliau sebagai Timbalan Presiden dan pemimpin lama PAS yang telah teruji, wajar dilihat dengan positif demi kebaikan parti dan kerajaan negeri yang dipimpin oleh PAS. Menurut Mohamad dalam bab harta dan pangkat - 'Kalau PAS tak ambil, UMNO akan ambil' - adalah satu pegangan atau tanggapan yang menyalahi matlamat perjuangan PAS, dan ini wajib diubah, dengan perubahan yang lebih besar.
Tanggapan ini wujud terpahat dalam kepala orang PAS di mana-mana, dan bagi Kedah dan Kelantan, yang dipimpin oleh PAS, perubahan yang berlaku dalam hal ini tidak mencukupi. Contohi Pulau Pinang yang dipimpin DAP, kata Mohamad.

NONESaya setuju dan akur, tetapi (maafkan saya!) kalau kenyataan ini dibuat sebelum muktamar, saya percaya Timbalan Presiden PAS yang baru bukannya Mohamad. Apa telah berlaku di Kedah dan Kelantan dan ada apa di Pulau Pinang dan hingga beliau membuat seruan mencontohi negeri itu?

Gelaran Datuk

Saya tidak melihat kewujudan pemikiran itu ataupun natijah 'pegangan salah' itu di kalangan pemimpin PAS di Kedah, malah tidak berlaku sebarang perlumbaan di kalangan pimpinan PAS Kedah untuk mengejar harta atau pingat, jauh sekali memohon tanah di kalangan wakil rakyat atau Exco.
NONEGelaran Datuk misalnya, adalah hak mutlak KDYMM Tuanku Sultan, tiada Exco atau wakil rakyat daripada PAS yang mengisi borang bagi pihak diri sendiri untuk memohon gelaran itu. Menteri Besar ada mencalonkan beberapa nama dari kalangan ahli politik, termasuk daripada PAS, yang mana tuan tubuhnya pun tidak dimaklumkan sehingga surat perkenan dari pejabat KDYMM Tuanku Sultan sampai ke tangan, barulah individu tersebut tahu.
Dalam bab Pengurniaan Bintang dan Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Dato' dalam mana-mana kategori, terdapat cadangan yang ditolak di peringkat Jawatankuasa Jemaah Datuk-Datuk Kedah, dan ada yang belum diperkenankan oleh KDYMM Tuanku Sultan sendiri. Ada juga calon yang dicadangkan pingat lain, tetapi KDYMM Tuanku Sultan memperkenankan calon itu diberikan Datuk. 

Di Pejabat Menteri Besar, sayalah yang menguruskan borang pencalonan dan menapis semua permohonan Pingat, Bintang dan Darjah Kebesaran bagi kategori ahli politik dan aktivis masyarakat bagi pihak Menteri Besar, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penganugerahan Pingat, Bintang dan Darjah Kebesaran.
NONEBagi pencalonan dalam kategori lain, ada jawatankuasa lain yang bertanggungjawab. Semua pencalonan akan diangkat untuk perkenan KDYMM Tuanku Sultan setelah melalui tahap-tahap tapisan beberapa jawatankuasa. Ia tidak semudah sangkaan tidak tepat sesetengah pihak. Dalam tempoh tiga tahun ini, saya telah melihat trend yang jelas dalam hal ini, iaitu, tiada pemimpin PAS yang menunjukkan minat yang mendalam untuk mendapat gelaran Datuk - sehingga perlu ditegur oleh Mohamad.Dalam hal ini, saya akui ada di kalangan ahli dan penyokong di peringkat akar umbi yang tidak berpuas hati dan merungut kenapa waktu kita menjadi kerajaanpun, penerima pingat, bintang dan darjah kebesaran masih ramai dari kalangan UMNO dan BN.
conference of rulers majlis raja rajaPada saya, teguran Mohamad itu wajar ditujukan kepada mereka, bukan kepada pimpinan. Pun begitu, saya memahami bahawa itulah budaya nilai yang diwarisi daripada sejarah kerana kita lahir dan hidup membesar di Malaysia, sebuah negara dengan sistem Raja Berperlembagaan.
Mereka tidak mengenal budaya Cuba, China, Russia maupun Libya atau Iran. Negeri Pulau Pinang dan DAP yang Mohamad jadikan contoh dalam hal ini, tidak mempunyai Sultan, Raja maupun Istana yang memayungi pembentukan adat, nilai dan budaya hidup rakyatnya.

Balak Kedah.

Dalam bab balak yang juga disebut oleh Mohamad, tidak ada kalangan pemimpin PAS Kedah yang pernah atau cuba memohon kawasan. Walaupun ruang dan peluang terbuka luas kepada sesiapa sahaja, kerana Kedah mengamalkan sistem tender terbuka, belum ada seorangpun wakil rakyat, exco atau pemimpin PAS yang pernah memohon, masuk tender atau meminta balak daripada kerajaan.
NONEApatah lagi mendapat kawasan. Memang ada ahli dan penyokong PAS yang menerima konsesi balak hasil sistem tender terbuka, tetapi mereka bergiat dalam bidang ini sejak bertahun-tahun dulu, sebelum kerajaan bertukar tangan, kerana mereka menawarkan harga yang terbaik. Untuk pengetahuan Mohamad, sejak Kedah ditadbir oleh Pakatan Rakyat yang diterajui oleh PAS, dengan kuota keluasan tebangan yang sama yang ditetapkan oleh kementerian yang bertanggungjawab (2,340 hektar setahun bagi Negeri Kedah), hasil balak untuk negeri Kedah telah meningkat berlipat kali ganda setiap tahun.
Daripada purata RM9.5 juta di zaman BN, mencapai kepada RM53 juta pada tahun 2010. (RM35 juta pada 2008, RM38 juta pada 2009). Dalam hal meningkatkan hasil dari industri pembalakan, kerajaan negeri pimpinan PAS tidak melihat kepada latar belakang parti pemohon/pembida, tetapi berapa harga yang ditawarkan. 

NONELaporan Ketua Audit Negara Tahun 2009 memperakukan Kerajaan Negeri telah berupaya meningkat pendapatan melalui industri pembalakan pada kadar 205% pada tahun 2008 dari tahun sebelumnya.
Pencapaian ini sudah semestinya melalui perancangan yang rapi yang disusun oleh kepimpinan YAB Menteri Besar untuk membuktikan pentadbiran PAS dan Pakatan jauh lebih baik daripada era Umno/BN.
Negeri Pulau Pinang dan DAP yang Mohamad jadikan contoh dalam bab ini sudah tidak mempunyai hutan dan balak untuk ditender dan ditebang, kerana negerinya sudah dipenuhi hutan batu.

Permohonan tanah

Dalam bab memohon tanah, sepanjang pengetahuan saya, belum ada kes Exco atau wakil rakyat PAS di Kedah yang memohon tanah untuk diri sendiri maupun kaum keluarga.
Memang telah menjadi dasar yang tidak bertulis di Kedah, dan difahami dan dihayati dengan sebaik-baiknya oleh sekelian Exco dan wakil rakyat PAS bahawa mereka tidak mungkin boleh melakukan hal itu.
kuala kedah shoplots 110805 lot 1Kalau ada permohonan tanah sebelum menjadi Exco atau wakil rakyat yang masih belum selesai prosesnya, saya tidak tahu.
Negeri yang Mohamad jadikan contoh itu sudah tidak ada tanah yang luas untuk dipohon, bukan sahaja oleh exco atau wakil rakyat, malah rakyatnya juga telah ramai berhijrah ke Kulim, Sungai Petani dan utara Perak gara-gara harga hartanah yang terlalu tinggi dan sebahagian penduduknya sudah tidak mampu memilikinya lagi.

Saya akur dan berterima kasih di atas ingatan dan nasihat daripada Mohamad yang berterus terang dalam hal ini, yang saya percaya bertujuan memelihara kepentingan dan matlamat perjuangan parti.
PAS tidak boleh dan tidak mungkin bergerak menyamai apa yang telah dibuat oleh Umno/BN yang membawa kebencian rakyat ketika menjadi kerajaan.

Maklumat pinggiran

Saya menghormati dan menyanjung tinggi keberanian dan 'drive' Mohamad menerajui kepimpinan parti sebagai Timbalan Presiden PAS yang inginkan parti kita terus maju dan disenangi dan disayangi oleh rakyat, dalam hal-hal yang bersangkut dengan keperluan dan kemahuan dalam hidup sebagai manusia yang diberi amanah kuasa.

mat sabuUntuk melaksanakan hasrat yang mulia Mohamad itu, alangkah baiknya jika beliau mendapatkan maklumat dan gambaran yang jelas dari kepimpinan PAS di Kedah maupun di Kelantan melalui hubungan dan persahabatan yang baik lagi mesra, sebagaimana Mohamad berjaya lakukan dengan kepimpinan kerajaan di Pulau Pinang.
Maklumat dari pinggiran yang (jika) menjadi asas penilaian Mohamad, saya khuatiri akan menyebabkan tegurannya menjadi tidak bermakna dan tidak menguntungkan sesiapa.

Teguran terbuka seperti ini juga lebih manis dibuat dulu dalam mesyuarat di peringkat PAS Pusat yang dihadiri oleh Pesuruhjaya PAS negeri-negeri terbabit. Saya mohon ampun dan maaf daripada Mohamad jika terkasar bahasa dan terlajak bicara.

Penulis adalah setiausaha politik kepada Menteri Besar Kedah dan ulasan ini adalah pandangan peribadinya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang pengarang Malaysiakini

Saturday, 11 June 2011

ISU NEGARA KEBAJIKAN


Mat Sabu: PAS tak perlu minta maaf, Khaled Nordin merapu

June 11, 2011
KUALA LUMPUR, 11 Jun — Mohamad Sabu menegaskan PAS tidak perlu meminta maaf berhubung konsep negara berkebajikan dibawa parti itu sambil menyifatkan kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kelmarin sebagai “merapu.” 
Timbalan Presiden PAS berkata, gesaan pemimpin Umno itu yang meminta agar PAS memohon maaf kepada Umno merupakan kenyataan yang sengaja dibuat menjelang pilihan raya umum. 
“Nak buat apa minta maaf. Mereka ini merapulah. Ini kenyataan orang yang pening. Kenyataan ini biasalah...kenyataan menjelang pilihan raya. PAS tak nak respons. Sebab ini bukan kenyataan rasmi. Ini kenyataan biasa,” katanya ketika dihubungiThe Malaysian Insider
Berdasarkan laporan media semalam, Khaled dipetik berkata, PAS yang selama ini memperjuangkan dasar menegakkan Islam tetapi mengetengahkan konsep negara berkebajikan sewajarnya meminta maaf kepada Umno kerana sering menuduh parti pemerintah itu tidak betul dan pelbagai tuduhan lain termasuk mengkafirkan mereka yang tidak mengikut perjuangan parti itu. 
Khaled juga berkata, PAS perlu berbuat demikian kerana pelbagai tuduhan mereka itu menyebabkan rakyat terutama masyarakat Melayu berpecah belah dan keadaan negara tidak tenteram. 
Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib pula menegaskan partinya tidak perlu meminta maaf kepada Umno seperti diminta Khaled. Pesuruhjaya PAS Terengganu ini memberitahu semua dakwaan PAS terhadap Umno selama ini adalah benar. 
“Semua dakwaan PAS kepada Umno betul. Sehingga kini Umno tidak menerima Islam sebagai dasar negara. Lihat sahaja undang-undang, dasar ekonomi, pendidikan, pentadbiran masih belum menjadikan Islam sebagai dasarnya. 
“Kenyataan PAS sebelum ini adalah benar dan PAS tak perlu meminta maaf,” katanya lagi.

Negara berkebajikan, mesra pelabur - Presiden
Nazri Abdullah 
http://bm.harakahdaily.net
KUALA LUMPUR, 11 Jun: Konsep 'negara berkebajikan' yang mahu dilaksanakan PAS jika diberi mandat memerintah negara bersama rakan Pakatan Rakyat, diyakini mampu menarik minat pelabur asing melabur di negara ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, minat pelabur itu akan didorong oleh keyakinan mereka terhadap pengurusan ekonomi negara yang sihat iaitu bebas rasuah, tiada salah guna kuasa dan berintegriti seperti yang dianjur Islam.

Hasil dari pengamalan urus tadbir yang baik itu juga, sekaligus akan menambah pendapatan negara.

"Dalam negara berkebajikan, cukai dipungut mengikut perkembangan, rasuah tidak ada, 
pelabur suka datang.

"Dengan sendiri hasil negara bertambah. Ini caranya," katanya melalui laman Facebook.

Beliau menjelaskan demikian dipercayai sebagai menjawab persoalan yang ditimbulkan pemimpin Umno BN berhubung konsep negara berkebajikan yang menjadi tema ucapan dasar presiden PAS pada Muktamar parti itu yang ke 57 minggu lalu.

Pemimpin Umno termasuk Datuk Seri Najib Razak sebelum ini turut memperkecil hasrat PAS yang mahu memperkenal konsep negara berkebajikan tersebut dan mendakwa BN sudah lama mengamalkannya.

Bagaimanapun Timbalan Presiden PAS yang baru, Mohamad Sabu membidas kenyataan itu dengan mendakwa BN mengamal pemerintahan diktator dan bukannya negara berkebajikan.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata konsep negara berkebajikan yang mahu diperkenal PAS berbeza dengan yang didakwa Najib bahawa sudah diamal Umno.

Katanya konsep negara berkebajikan itu mempunyai elemen yang lebih murni dalam menyelamatkan negara kerana PAS akan menerapkan konsep halal dan haram dalam pelaksanaannya dan tidak seperti Umno.

"Disinilah kuasa barat takut, bimbang dengan pemerintahan Islam," tegasnya

BICARA PERLUMBAAN


BN dan Pakatan mula lumba, PAS diminta tubuh panel rangka negara kebajikan

June 11, 2011

http://www.themalaysianinsider.com

KUALA LUMPUR, 11 Jun — PAS perlu segera mengadakan jawatankuasa pemandu merangka konsep negara berkebajikan memandangkan kedua-dua kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat berebut-rebut cuba membuktikan mereka berada di depan dalam agenda tersebut, kata mufti Perlis.
“Saya gembira melihat kerajaan dan pembangkang berebut-rebut cuba membuktikan agenda merekalah terbaik untuk kebajikan rakyat.
“(Oleh itu) saya ulang sekali lagi desakan agar PAS segera tubuhkan jawatankuasa pemandu negara kebajikan mereka untuk merealisasikan bentuk dan hala tuju berkenaan agar selari dengan Islam dan jelas kepada rakyat,” kata Dr Juanda Jaya dalam satu kenyataan SMS hari ini.
Tokoh agama itu yang sering mengikuti dengan dekat isu membabitkan parti-parti politik negara ini berpendapat, “ini kemuncak pertembungan untuk meraih sokongn atas seriusnya agenda perubahan bagi membela rakayt.”
Menurut Juanda, jawatankuasa itu perlu inklusif dan dianggotai oleh ahli-ahli politik, ulama dan pemikir yang aktif dan realis dalam mengetengahkan kebajikan rakyat.
“Ini sepatutnya jadi teras PAS sekarang kerana momentum kesedaran rakyat sedang amat kuat. Kerajaan sekarang juga akan berusaha buktikan merekalah juara kebajikan dan mereka pasti akan buat perkara lebih banyak lepas ini untuk bersaing,” katanya.
Sehubungan itu kata beliau, PAS perlu membuktikan yang mereka mampu buat lebih daripada kerajaan yang ada dan jangan ia “disejukkan oleh asakan balik Umno bahawa PAS tidak praktikal.”
“Ketepikan sekejap program-program kurang utama. Pelan induk itu nanti akan jadi satu model standard bagi penceramah PAS jelaskan dasar parti. Bukannya masing-masing penceramh ada tafsiran sendiri seperti yang telah berlaku kepada konsep negara Islam sebelum ini,” katanya.
Ahad lalu, Juanda juga melahirkan harapan agar PAS akan membentangkan segera konsep negara berkebajikan yang disentuh oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya pada 3 Jun lalu.
Muktamar PAS kali ini dilangsungkan dengan penekanan ke atas tema “membangun negara berkebajikan”, susulan daripada manifesto pilihan raya umum parti itu tiga tahun lalu.
Pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS Ke-57 minggu lalu, Hadi berkata, belum tiba masanya untuk parti itu meninggalkan usaha membentuk “negara Islam”, isu yang disifatkan sebagai duri dalam daging dalam hubungannya bersama DAP sebelum ini.
Hadi dipetik berkata, PAS akan meneruskan gagasan negara berkebajikan yang disepakatinya bersama komponen Pakatan Rakyat kerana perkara yang lebih penting adalah pelaksanaan dan bukannya menumpukan jenama “negara Islam” itu semata-mata.
“Belum tiba masanya (tinggalkan usaha bentuk negara Islam). Apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan.
“Sebab itu kalangan DAP melihat sendiri kerjasama kita dengan mereka. DAP kata mereka minum arak, kita tak boleh larang dia. Kita bukan macam kalangan setengah (pemimpin) BN yang boleh minum arak sama,” katanya.

LAGI KOMEN PEMILIHAN PAS 2011

Kemenangan Mat Sabu dan beberapa harapan baru
http://www.tranungkite.net

ArtikelOleh Dinsman
Keputusan pemilihan pimpinan PAS yang baru sempena Muktamar tahunannya yang berlangsung di Dewan Datuk Fadzil Noor, Taman Melewar, Kuala Lumpur 4 Jun, adalah suatu yang sangat menarik. Barangkali boleh juga disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa, yang menjanjikan atau memberikan beberapa harapan baru.


Bukan sahaja kemenangan Mat Sabu sebagai Timbalan Presidennya yang menewaskan Nasharudin Mat Isa (penyandang jawatan yang dikatakan sangat disenangi oleh Presiden dan kumpulan PAS Trengganu itu) dan Tuan Ibrahim Tuan Man, tetapi juga kemenangan tiga orang Naib Presiden yang ketiga-tiganya bukan dari golongan ulama, dan juga sebilangan besar Ahli Jawatankuasa Pusat, khasnya empat orang yang mendapat undi tertinggi, juga bukan dari golongan ulama.

Pembahagian kategori ulama dan profesional yang mula ketara dalam beberapa pemilihan lalu sememangnya tidak pernah saya setujui. Struktur kepemimpinan ulama yang ditubuhkan sejak era kepimpinan Yusuf Rawa itu sudah begitu kuat, hingga tidak perlu lagi dibimbangi kemungkinan ia boleh dirosakkan oleh kehadiran ramai golongan profesional.

Saya pernah bertanya Ustaz Fadzil Noor (Allahyarham) sewaktu dia menjadi Presiden PAS, apakah dia bimbang kalau suatu hari nanti golongan profesional menjadi Presiden PAS? Dia menjawab tegas tanpa ragu-ragu, yang dia tidak bimbang, kerana PAS sudah mempunyai struktur kepemimpinan ulamanya yang akan sentiasa memandu dan mengawasi perjalanannya agar tidak lari dari landasan.

Maka apabila sebahgian golongan ulama dalam PAS cuba mempertahankan status mereka (dan cuba menyekat kemaraan golongan profesional ke dalam pimpinan atasan) dengan berhujah bahawa PAS mesti dipimpin oleh golongan ulama, saya melihatnya sebagai sesuatu yang kurang wajar.

Bukan kategori atau label seseorang sebagai ulama atau profesional itu yang menentukan seseorang berwibawa sebagai pemimpin atau tidak. Ada banyak ciri-ciri lain lagi yang diperlukan untuk menjadi seorang pemimpin yang baik dan berkesan. (Bacalah huraian ciri-ciri kepemimpinan yang baik, yang dibuat oleh Prof Shaharir Mohd Zain dalam bukunya “Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz Mengikut Pandangan Sarjana Kepemimpinan Besar Sepanjang Zaman” itu).

Menjelang muktamar kali ini pun suara yang berhujah ke arah supaya ulama dipilih ke dalam saf pimpinan tertinggi PAS itu masih lagi kedengaran. Dan peliknya, media-media Umno-BN pula menunjukkan sokongan yang kuat, mendesak supaya golongan yang dikatakan ulama itu dipilih. Apa halnya pula boleh terjadi begitu? Mereka sendiri (pemilik media-media itu) tidak memilih ulama untuk memimpin mereka, di sini mereka pula beriya-iya benar mendesak supaya PAS memilih golongan yang dikatakan ulama itu menerajui pimpinan PAS. Tentulah ada muslihatnya, ‘kan!

Apa pun, syukur alhamdulillah, ahli-ahli PAS telah membuktikan kematangan mereka dengan pilihan yang dibuat pada 3 Jun itu. Kita bersetuju dan berasa selesa dengan pemilihan itu, apalagi menjelang PRU-13 tak lama lagi, tetapi dalam masa yang sama tak dinafikan juga adanya satu soalan yang perlu dijawab, iaitu: Apakah ahli-ahli PAS sudah hilang kepercayaan kepada golongan ulama?

Saya melihat jawapannya bukan pada percaya atau hilang kepercayaan, tetapi pada rekod kerja dan sumbangan yang ditunjukkan oleh para ulama yang telah diberi kepercayaan memimpin dalam tempoh beberapa penggal yang lalu itu. Ternyata rekod dan sumbangan mereka kurang memuaskan, kecuali beberapa orang.

Ahli-ahli PAS ternyata dapat membezakan keperluan ini. Bukan semua ulama dapat menjadi pemimpin yang baik. Demikian juga bukan semua profesional dapat menjadi pemimpin yang baik. Seorang pemimpin yang baik boleh datang daripada golongan ulama, boleh datang daripada golongan profesional, dan boleh datang daripada golongan yang bukan ulama dan bukan profesional, seperti Mat Sabu, Salahuddin Ayub dan Mahfuz Omar

Waktu kategori dan label pimpinan ulama dan profesional mula dibangkitkan dulu, saya pernah bertanya di manakah kedudukan orang-orang seperti Mat Sabu, yang bukan ulama dan bukan profesional? Alhamdulillah, hari ini kita tak perlu lagi mencari jawapan kepada soalan itu. Muktamar 3-5 Jun 2011 telah memberikan jawapannya yang jelas.

Mat Sabu, Salahuddin Ayub dan Mahfuz rupa-rupanya dikategorikan sebagai aktivis politik. Samalah juga dengan Mazlan Aliman, aktivis hak-hak peneroka Felda (melalui NGO ANAK) yang menang AJK Pusat dengan undi terbanyak itu. Dan nampaknya ahli-ahli PAS seperti sebulat pendapat bahawa realiti politik hari ini memerlukan satu pendekatan baru, bagi menghadapi pihak penguasa yang tidak lagi menghormati prinsip demokrasi dan keadilan.

Maka demikianlah kita melihat para aktivis yang berani dan aktif turun ke jalanraya menuntut hak-hak demokrasi yang adil seperti Salahuddin Ayub, Husam Musa, Mahfuz Omar, Mazlan Aliman dan Dr Hatta Ramli dipilih untuk berada di saf hadapan kepemimpinan yang baru, dengan Mat Sabu sebagai pemimpinnya, di belakang Presiden Abdul Hadi Awang.

Siapakah yang tidak kenal dengan Mat Sabu? Keupayaannya menggembleng massa memang tidak diragukan, samada untuk hadir ke perhimpunan ceramah perdana, untuk mengutip dana, atau untuk turun ke jalanraya.

Realiti politik hari ini tidak sama lagi dengan realiti politik zaman Hadi Awang menjadi Timbalan Presiden PAS dulu. Prinsip-prinsip demokrasi dan keadilan sedikit demi sedikit terhakis, dikerjakan oleh penguasa-penguasa zalim bersama agen-agen mereka yang berselindung di sebalik topeng pelbagai jabatan dan profesyen, hatta jabatan kehakiman, polis, media dan profesyen keilmuan di universiti.

Paling mutakhir ialah berleluasanya fitnah dengan menggunakan video lucah bagi menyerang peribadi tokoh pemimpin, mengakibatkan huru-hara berlaku terhadap akhlak anggota masyarakat umum. Semua ini menunjukkan bahawa pendekatan dan strategi politik konvensional tidak lagi berkesan untuk digunakan.

Demikianlah harapannya kepada para aktivis politik yang bukan ulama, bukan profesional (ataupun profesional yang telah menjadi aktivis), tetapi mereka dipercayai mempunyai kualiti yang diperlukan untuk menghadapi realiti politik yang semakin ‘bobrok’ hari ini.

Selamat menjalankan tugas baru, sdr Mat Sabu!

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yhoo.com.my atau sms 019-9592408)

Friday, 10 June 2011

SI ZALIM KEHABISAN PELURU

Ramai menjangka yang fitnah kaedah  porno melibatkan Abang Mat akan dimainkan pihak lawan yang kepanasan tetapi tidak sangka seawal ini. Segera ia tiba, moga segera ia berlalu dan memberi lebih ruang perjuangan sebenar menumbangkan si zalim.

jika 'peluru terakhir' sudah dilepaskan di awal pusingan bermakna, musuh sudah kehabisan peluru


'Skandal' seks: Tak apa, kisah lama, kata Mat Sabu
Norain Saleh & Jimadie Shah Othman
Jun 10, 11
6:28pm
Kongsi 320
http://www.malaysiakini.com


Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu masih enggan mengulas berhubung penyebaran video seks sekitar kawasan Ampang yang dikaitkan dengan dirinya.

NONEIni kerana, katanya, beliau masih tidak tahu menahu dan mahu mendapatkan maklumat lanjut daripada ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang membuat laporan polis berhubung perkara itu terlebih dahulu. 

"Bagi saya tanya Zuraida dulu. Nanti baru saya boleh komen," katanya ketika ketika diminta mengulas berhubung penyebaran VCD itu.

Ditanya sama ada beliau selesa kontroversi kisah silamnya diungkit semula, Mohamad menjawab: "Bagi saya tidak mengapa, (ia) kisah lama."

Awal pagi ini, Zuraida membuat aduan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Ampang Jaya setelah menemui VCD bersama surat palsu dalam peti surat rumahnya yang kononnya dikeluarkan PAS.

Bahagian luar VCD itu memaparkan imej Mohamad - yang baru dipilih sebagai timbalan presiden PAS yang baru - dengan judul 'Skandal Seks Mat Sabu'.

Zuraida mendakwa terdapat penglibatan Umno dalam kerja itu dalam rangka untuk memecah-belahkan kerjasama parti gabungan Pakatan Rakyat.

'Bagi saya tanya dulu'
Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Mohamad bagaimanapun memberitahu beliau bersedia mengulas perkara itu selepas menghubungi Zuraida yang juga ketua wanita PKR.

NONE"Boleh, boleh (minta komen). Bagi saya tanya Zuraida dulu," katanya ringkas.

Sementara itu, Zuraida (kanan, tuduh cerah) dalam kenyataannya berkata, "tindakan melampau" itu membuktikan bahawa "budaya politik kotor sudah mula dicemarkan sehingga ke Ampang". 

Sambil mengaitkan dengan penyebaran video yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, Zuraida mempertikaikan tindakan polis yang masih belum berjaya mengesan dalangnya.

"Namun sehingga kini tiada sebarang hasil siasatan dari semua laporan polis yang dibuat mengenai penyebaran VCD lucah ini," katanya.

Beliau juga menggesa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak terus berpeluk tubuh dan segera menjelaskan pendiriannya berkenaan perkara itu.

Menurut Zuraida, "penyebaran melampau" VCD sebegitu mencemarkan nilai dan semangat keharmonian kekeluargaan di negara ini. 

"Institusi keluarga yang dibina seharusnya suci dari anasir dan budaya lucah sebegini agar masyarakat yang dibina tidak terus cetek dek kerana budaya lucah ini," katanya.

Mohamad pada 1995 pernah dituduh berkhalwat di sebuah hotel di Kota Bharu, Kelantan. Mahkamah bagaimanapun menggugurkan tuduhan itu kerana tidak cukup bukti.

Isu melibatkan Mohamad sebagai pemimpin sebagai sebuah parti Islam mencetuskan kontroversi besar dan menjadi modal serangan bertalu-talu lawan politiknya Umno.

SOAL ADAKAH ABANG MAT PRO-DAP


'Kalau PAS tak ambil, Umno akan ambil'
Salhan K Ahmad
Jun 10, 11
11:47am

PAS perlu mencontohi tadbir urus yang baik seperti yang diamalkan negeri Pulau Pinang bagi meningkatkan integriti dalam pentadbiran negeri yang dikuasainya – Kelantan dan Kedah, kata timbalan presiden parti itu, Mohamad Sabu.
Katanya, pemimpin berkenaan perlu berbuat demikian memandangkan perubahan yang berlaku di kedua-dua negeri tersebut masih belum cukup dan lebih buruk lagi, masih ada lagi golongan dalam PAS yang masih berfikiran seperti pemimpin Umno.
NONE
"Bukanlah kalau PAS pergi ke Putrajaya dengan rakan-rakannya hal ini akan selesai. Tadbir urus baik ini masih perlu difahami.

"Bila kita ceramah, kita tanya 'bila kita memerintah setuju tak kita tangkap (Datuk Seri) Najib (Razak) bawah ISA?' Orang kata setuju. Itu bermakna dalam pemikiran untuk balas dendam ini masih tebal.
"Maknanya bila kita perintah kita ganti Umno. Itu yang kita tak mahu. Sekarang di Kedah, Kelantan, perubahan berlaku tapi tak cukup," katanya dalam satu temubual eksklusif dengan Malaysiakini.
Mohamad menjelaskan, perubahan di negeri Kelantan, misalnya, akan berdepan masalah apatah lagi sekiranya menteri besarnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak lagi mengetuai pentadbiran negeri berkenaan.

ADUN, exco tak boleh pohon tanah
"Dari segi tadbir urus, sebab pergantungan Kelantan misalnya pada Tok Guru (Datuk) Nik Abdul Aziz (Nik Mat) terlalu tinggi," kata Mohamad yang vokal terhadap pentadbiran PAS sejak parti itu dapat mengembalikan kuasa di negeri itu pada 1990.
NONE
Penceramah popular itu juga menegaskan, PAS perlu mengubah sikap yang wujud di kalangan wakil rakyatnya bagi meningkatkan integriti barisan pentadbiran di negeri yang dikuasai.

"Misalnya anggota exco, ADUN tak boleh pohon tanah kerajaan. (Kalau) mahu mohon, berhenti, jadi orang berniaga. Selagi jadi ADUN, exco tak boleh memohon dan sebagainya. Ini yang perlu diubah oleh kerajaan yang dipimpin oleh PAS.
"Setengah bercakap kalau PAS tak ambil, Umno ambil. Ertinya (PAS) sama (dengan Umno) – benda macam ini yang saya akan berdepan, di dalam isu misalnya balak," katanya lagi yang mengakui bahawa pandangan seperti itulah yang menyebabkan beliau dilihat sebagai "pro-DAP."
Mohamad yang bimbang dengan penyelewengan yang wujud dalam parti itu berkata demikian dengan merujuk kepada dakwaan yang dilemparkan berhubung sumber balak di negeri berkenaan.

Berebut untuk dapat 'Datuk'
Satu lagi perkara yang menjengkelkannya ialah minat yang ditunjukkan pemimpin PAS untuk mendapatkan gelaran daripada istana – sikap yang dikutuknya sebagai pemujaan kepada sistem kasta dan feudalisme.
NONE
"Penyanyi menyanyi dua tiga lagu dah 'Datuk'. Pelawak (juga dapat). Kalau P Ramlee itu OK lah bagi Datuk, ini semua, kita baling batu boleh jatuh kepala Datuk.

"Kalau gelaran Datuk, semua mencari. Kalau umum 'siapa nak (pangkat) Datuk esok datang depan istana', saya ingat pemimpin PAS akan berebut pergi depan istana," katanya.
Mohamad yang popular dengan gelaran Mat Sabu itu bagaimanapun berkata, beliau setakat ini menolak tawaran bagi gelaran berkenaan kerana tidak melihat keperluannya.
"Saya tolak buat masa ini. Tak berani cakap besarlah untuk akan datang, tapi buat masa ini tak nampak (keperluan). Tak perlu," katanya yang telah menolak tawaran untuk mendapat pingat kebesaran daripada Pulau Pinang sebanyak dua kali.

Mohamad Sabu ditemubual Aidila Razak, Lee Way Loon dan Salhan K Ahmad.

Thursday, 9 June 2011

LAGI SOAL PERPADUAN MELAYU


Perpaduan Melayu: Umno silap jika terus salahkan PAS

June 09, 2011
http://www.themalaysianinsider.com KUALA LUMPUR, 9 Jun — Mohamad Sabu menegaskan kepimpinan PAS termasuk barisan pemimpin pusat yang baru tidak menolak idea perpaduan Melayu, sebaliknya Umno sengaja menggunakan soal itu sebagai bahan kempen menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Jelas timbalan presiden PAS itu, “Umno silap” jika mendakwa keputusan PAS menolak untuk bekerjasama dengan parti teras Barisan Nasional (BN) itu bermakna ia akan memecahbelahkan orang Melayu.
“Umno mula pertikaikan perpaduan Melayu apabila kepimpinan sudah jatuh tetapi sebaliknya jika mula kuat, mereka jadi takbur,” ujar Mohamad (gambar) lagi.
“Umno sebenarnya sudah lemas, sebab itu membangkitkan isu perpaduan Melayu. Kami (kepimpinan baru PAS) tetap perjuangkan perpaduan Melayu tetapi berlandaskan keadilan untuk kepentingan semua masyarakat,” kata timbalan presiden PAS ini ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Kelmarin, timbakan pengerusi Umno Kedah Datuk Mukhriz Mahathir melahirkan rasa tidak gembira kerana PAS tidak mahu perpaduan Melayu apabila PAS terus menolak kerjasama dengan Umno.
Pandangan yang serupa juga dilahirkan oleh timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam ucapan dasarnya Jumaat lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi pendirian partinya akan terus bersama Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 meskipun dihujani siri pelawaan dan jemputan daripada kepimpinan Umno sepanjang tiga tahun lalu.
Beliau menegaskan, PAS tiada masalah untuk mewujudkan hubungan peribadi tetapi tidak dalam hubungan politik.
Katanya, PAS tetap bersama Pakatan Rakyat untuk membina politik baru tanpa sebarang acuan Umno.
Sementara itu, salah seorang naib presidennya Salahudin Ayub berkata, kepimpinan PAS tidak pernah menolak idea perpaduan Melayu kerana perpaduan itu sudah lama wujud sejak negara merdeka.
“Perpaduan itu telah lama wujud. Bukan sahaja perpaduan dengan orang Melayu, bahkan juga perpaduan dengan masyarakat lain berlainan agama.
“Perpaduan Melayu itu tetap wujud dan tidak akan hilang sama sekali selagi kita tetap pegang pada prinsip perpaduan, mengamalkan budaya Melayu, beretika ikut cara Melayu dan ikut acuan bangsa Melayu,” katanya.
Selain itu, Salahudin berpendapat, Umno memberi kenyataan sedemikian kerana mereka mengalami “musim kemarau yang panjang.”
Jelasnya, mereka ketandusan idea untuk menjatuhkan PAS sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan begitu sedangkan hakikatnya langsung tiada kena-mengena dengan perpaduan Melayu.
Ditanya mengenai PAS mahu memecahbelahkan Melayu untuk kepentingan mereka, beliau menegaskan, perpecahan Melayu hanya akan terjadi seandainya “kita memutuskan ikatan silaturrahim.”
“Itu baru dikatakan sengaja elak perpaduan dan pecah belahkan orang Melayu,” katanya.
Jelas beliau lagi, dalam arena politik memang wujud parti Umno-PAS yang tidak sealiran parti politik.
“Tetapi, adakah dengan berbeza parti dan tidak bergabung menjadi satu parti sudah dianggap PAS sengaja tidak mahu perpaduan dan mahu pecah belahkan Melayu?
“Adakah dengan gabungan PAS-Umno sudah dikira perpaduan Melayu telah wujud?” ujarnya lagi.
Beliau juga berpendapat kenyataan Umno itu sebenarnya satu hujah yang naif.
“Itu hanya momokan daripada mereka yang sengaja mahu menakut-nakutkan orang Melayu.
“Mungkin mereka bimbang dan teruja dengan kepimpinan baru PAS yang lebih progresif dan kontemporari dalam memberi saingan pada pilihan raya umum yang akan berlaku pada bila-bila masa sahaja,” katanya.
Salahudin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian turut menyarankan supaya seluruh masyarakat khususnya orang Melayu tidak bimbang dengan kenyataan Umno itu.
Ujarnya, kepimpinan PAS tidak akan menyentuh perpaduan Melayu kerana tetap tegas perpaduan Melayu tidak pernah hilang.
“Umno berkata sedemikian sebagai satu cara menjauhkan pengundi PAS pada pilhan raya umum nanti,” ulasnya lanjut.