About This Blog

Bermula dengan rasa kagum dan terdorong, Blog ini didedikasi untuk saudara Muhammad bin Sabu, seorang pejuang rakyat sekian lama dan seorang ahli politik Islam di Malaysia. Blog ini mengongsi pelbagai topik kemasyarakatan, topik berkaitan Muhammad Sabu dan perjuangannya. Saya amat berbesar hati jika pelawat semua dapat kongsikan maklumat yang berkaitan dengan tema blog ini

Wednesday, 22 June 2011

Muhasabah Untuk Abang Mat

Kerana dirimu begitu berharga

MAT SABU : Buang la Perangai Melayu yg buruk TU



"Aku ingat bila hang dah berhijrah ke Kelantan dan Kedah berpuluh tahun perangai melayu yg buruk tu hang dah buang dah. Ternyata anak JATI KG  Jarak Penanti ni masih sebati lagi dgn perangai yg tak berapa elok tu. perangai macammana ? Sikap yang hanya tahu menghargai pencapaian bangsa lain tapi buat-buat tak nampak dgn kejayaan bangsa sendiri.
 Bahasa mudah : kalau anak cina dapat 10A hang terbeliak biji mata tapi kalau anak melayu dapat 10 A tiada pengiktirafan diberikan malah kutukan diberikan. 

Takkanlah bila LGE bagi hang jawatan ahli lembaga pengarah JBA dgn bayaran tertinggi, mulut hang terkunci kot dan hang nampak dia sorang yg buat kerja. Mana pi hasil tarbiyah PAS selama berpuluh tahun keatas diri hang. 

Aku memang kagum dgn hang. Hang petah bercakap, idea banyak, berani dan mudah didekati. Pasai tu BN takut dgn hang. Tapi aku baru nampak yg mindset hang tak begitu intelektual. Teguran hang lebih bersifat “demotivated” bukan “continous improvement”. Adakah kerana PAS Kedah/Kelantan tak guna CAT macam DAP sudah dikira tak buat kerja? Yg penting intipati kerja bukan nama. 
Aku dok kerja di Pulau Pinang 20tahun sampai sekarang. Aku dok tengok perkembangan sejak zaman Gerakan sampai la ni DAP. Tapi aku takkan buka pekong krn patuh pada pucuk pimpinan.  

 Cuma satu nasihat aku dekat hang tentang maksud pakatan. BN pun ada juga pakatan dgn Gerakan dan MCA/MIC, PAS pun ada juga pakatan dgn DAP/PKR. Pakatan BN adalah bentuk pakatan yg sanggup jual “underware sendiri: krn nak jaga hati rakan se pakatan. Tanah wakaf tergadai, akta tanah rizab melayu diubah, akta pendidikkan di ubah.

Pakatan Rakyat perlu bergerak atas dasar keadilan dan kesaksamaan kepada rakyat yg berbeza bangsa/agama. Perlu bersifat give and take atau win-win dan bukan berat sebelah. Buangkan sifat terlalu nak jaga hati di atas permintaan yg bersifat melampau. 

Tapi Abg Mat oi, kalau hang tak buang perangai tu….PAKATAN Rakyat pun boleh jadi Pakatan BN. 

Aku tak kata PAS ni perfect. Kita ambik periksa pun mana ada yg score 100%. Sekurangnya dapat markah 80% pun dah kira A juga. Aku tau dlm PAS Kedah memang ada sekoq dua yg dok ligan title Datuk dan memang dia dah dapat Datuk pun. Tapi takkan krn sekoq kerbau, habis hg nak palit lumpur dekat PAS. Apa kata hang  pi balik Batu Hampar, Merbok, hang pi tegur dia personally drp hang dok bising di Malaysiakini. Hang tu pula pasai apa tak mau ambil anugerah Datuk ? Takut riak ka? 

PAS Kelantan pula, takkan hang tak nampak improvement kot. Kota Bharu lagi hebat dari KTrengganu @ ASetar. Org Islam Kelantan lagi hebat dari segi ekonomi. Akta tanah Kelantan menjamin hingga keanak anak cucu berbanding akta tanah PPinang. Org melayu PPinang cuma tinggai tanah dalam pasu saja. 
Masaalah kebergantungan kpd TGNA tu cuma masaalah bagaimana nak menukar perak dgn emas, memang payah. Dalam BN memang mudah untuk menukar ganti kerana yg ada semua cuma ketul batu sahaja. Lagipun nak mengurus kerajaan negeri hang ingat TGNA buat kerja sorang2 ka?. TGNA hanya perlu membentuk seorang dua lagi yg mampu diberi persepsi yg sama seperti beliau oleh masyarakat umum. 

Masaalah YB tak turun padang. Bab ni hang sepatutnya kena buat benchmark dan compare apple to apple. Jika YB PAS turun padang sebanyak 50 kali setahun berbanding dgn YB BN yg cuma 30 kali, ternyata YB PAS lebih baik. Takkan hang mau YB PAS turun padang 365 kali setahun kot baru hang nak bagi score A. Gila pa. YB DAP turun padang setiap hari ka? Yg penting bukan berapa kali turun tapi apakah positive improvement yg boleh dibuat oleh YB berkenaan. Kita bercakap soal efficiency bukan quantity. 

PAS bukan tak boleh ditegur, tapi biarlah realistic dan ada fakta. Org tuduh hang syiah, aku tak setuju sebab aku kenal hang bukan setakat ditapak ceramah. Hang cuma peminat Negara Iran dan budayanya. Sama juga macam aku peminat Negara Thailand, takkan aku dituduh fahaman Buddha kot. 
Aku minta maaf kalau ada yg menyinggung hang. Tapi sebab hang la ni org no2 aku kena tegur cepat sebelum jadi barah.

Wednesday, 15 June 2011

BERHIMPUN HAK SEMUA - MENILAI RUANG DEMOKRASI 2


Mat Sabu: ‘Perkasa perkara kecil, kami tak sekat Perkasa’

June 16, 2011
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa 
KLANG, 16 Jun — Pakatan Rakyat menyifatkan langkah Perkasa yang mahu mengadakan perarakan balas serentak dengan Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini tidak akan memberi sebarang ancaman terhadap gerakan menuntut pilihan raya adil dan bebas itu.
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu (gambar) berkata, Himpunan Bersih 2.0 anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) tetap diteruskan sambil menyifatkan Perkasa sebagai “perkara kecil.”
“Perkasa ini perkara kecil sahaja, tiada apa-apa akan berlaku... kita bukan timbulkan apa-apa pun.
“Bagi pihak Bersih kita hanya mengadakan perhimpunan aman, tiada apa-apa provokasi, tapi kita minta agar polis mengawal keselamatan,” katanya selepas pelancaran Bersih 2.0 peringkat negeri Selangor di Dewan Hamzah di sini malam tadi.
Himpunan Bersih 2.0 mendapat tentangan pihak pro- Barisan Nasional (BN). Perkasa yang diketuai Datuk Ibrahim Ali memutuskan untuk mengadakan perarakan balas serentak pada hari yang sama.
Ibrahim berkata pihaknya akan menganjurkan protes balas bagi menghalang Himpunan Bersih 2.0 selain mendakwa ia akan menimbulkan huru-hara.
Justeru tegas Mohamad, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menghalang Perkasa, namun mempersoalkan mengapa perlu diadakan pada hari yang sama dengan Himpunan Bersih 2.0.
“Mengapa mesti hari yang sama? Perkasa boleh pilih tarikh lain... inikan negara demokrasi.
“Jadi, saya minta agar polis dapat mengawal keselamatan dan mengambil tindakan ke atas mereka yang mengundang perkara-perkara tidak diingini,” katanya.
Mohamad yang lebih mesra dengan panggilan “Mat Sabu” berkata, Himpunan Bersih 2.0 yang bertemakan “Walk For Democracy” akan diadakan secara santai tanpa menimbulkan sebarang ketegangan.
Pengerusi Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi PAS pusat ini menambah Himpunan Bersih 2.0 bukan gerakan parti politik tapi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menuntut pilihan raya adil dan bebas.
“Jadi saya minta peserta yang hadir hanya membawa bendera Malaysia dan bendera negeri bukan bendera parti politik . . . slogan juga mesti slogan Bersih 2.0, jangan bawa senjata, kalau ada provokasi jangan dilayan sebab kita berhimpun secara santai.
“Tujuan kita bukan nak kecam sesiapa tapi hanya mahukan pilihan raya yang adil dan bebas, kalau tiada perubahan negara akan menjadi lebih teruk,” katanya.
Turut hadir dalam program itu Pesuruhaya PAS Selangor Dr Abd Rani Osman, Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafiei dan Naib Pengerusi DAP Selangor Charles Santiago.
Semalam jawatankuasa pemandu Bersih berkata pihaknya bersedia bekerjasama dengan polis bagi memastikan perjalanan perhimpunan aman itu dapat dijayakan.
Sementara itu, ketiga-tiga pemimpin Pakatan Rakyat Selangor itu menggesa rakyat negeri itu agar sama menyertai Himpunan Bersih 2.0.
“Kita mahu tuntut SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) memberikan keadilan, ruang dan tempat kepada kita.
“Kita mahu SPR lebih telus dan bukan mengadakan pilihan raya sebab nak berikan kemenangan kepada Umno-BN,” kata Shuhaimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda.
Sementara itu, Santiago  yang juga Ahli Parlimen Klang berkata sistem pemerintahan sedia ada perlu digantikan kerana ia dipenuhi dengan penyelewengan dan membebankan rakyat.
“Mengapa Himpunan Bersih 2.0 ini harus berjaya? Sebab kita mahu beri mesej kepada rakyat agar menukar kerajaan sekarang,” katanya.
Dr Abd Rani yang juga Adun Meru pula berkata, kekecohan akan berlaku sekiranya polis mengganggu perjalanan Himpunan Bersih bulan depan selain provokasi daripada pihak lain.
“Kalau Umno-BN nak kata kita dengan apa sekali pun biarkanlah... dipersilakan sebab kita bukan nak timbulkan huru-hara.
“Kalau Perkasa kata mahu turut mengadakan perhimpunan kita sedia dan kita akan buktikan siapa yang lebih perkasa daripada Perkasa,” katanya.

BERHIMPUN HAK SEMUA - MENILAI RUANG DEMOKRASI


Bersih harap polis lebih terbuka, beri ruang demokrasi kepada rakyat

June 15, 2011
KUALA LUMPUR, 15 Jun – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) akan meneruskan Himpunan Bersih pada 9 Julai ini walaupun polis mengatakan tidak akan mengeluarkan sebarang permit perhimpunan aman menuntut pilihan raya adil dan telus itu.
Selain tidak akan mengeluarkan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan termasuk membuat tangkapan pencegahan sekiranya perlu.
Menurut jawatankuasa pemandu Bersih, pendirian terbaru polis itu tidak akan menghalang usaha mereka untuk meneruskan perhimpunan aman selain menambah bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa itu.
“Walaupun polis tidak akan mengeluarkan sebarang permit untuk perhimpunan Bersih 2.0, kami berhasrat akan untuk meneruskan kerjasama dengan pihak polis pada 9 Julai nanti.
“Kami percaya kerjasama dengan semua pihak termasuk pihak berkuasa akan memastikan protes ini dapat diselesaikan dengan cepat tanpa sebarang gangguan dan ini telah dibuktikan dalam beberapa protes lain sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan bersama.
Selain Pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenavesan, jawatankuasa itu turut dianggotai Andrew Khoo, K. Arumugam, Dr Farouk Musa, Harris Ibrahim, Liau Kok Fah, Maria Chin Abdullah, Richard Y W Yeoh, Dr Toh Kin Woon, Dr Wong Chin Huat, Datuk Yeo Yang Poh, Zaid Kamaruddin, Dr Subramaniam Pillay dan Arul Prakkash.
Tegas jawatankuasa itu, pihaknya akan memastikan Himpunan Bersih 2.0 akan diadakan dalam keadaan aman selain menjamin keselamatan orang ramai.
“Ekoran banyak laporan polis telah dibuat terhadap Himpunan Bersih 2.0, kami akan memastikan ia akan berjalan dengan lancar, aman, bertanggungjawab dan kami akan memastikan langkah-langkah keselamatan dijaga sepanjang ia dijalankan.
“Justeru kami meminta agar kerajaan menghormati kehendak orang ramai untuk menuntut pilihan raya yang adil dan telus,” katanya.
Tambah Khalid, pihaknya menerima 418 laporan dari peniaga, ejen pelancongan dan individu yang membantah perhimpunan itu diadakan di Kuala Lumpur pada 9 Julai.
Pada 2007, Bersih menggunakan slogan “Gelombang Kuning” telah menganjurkan perhimpunan aman, bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara atas alasan sama.
Himpunan Bersih 2.0 mendapat tentangan dari banyak pihak terutamanya dari Barisan Nasional (BN) yang membantah cadangan itu.
Bagaimanapun Perkasa yang diketuai Datuk Ibrahim Ali memutuskan akan mengadakan perarakan balas serentak pada hari yang sama.
Ibrahim berkata pihaknya akan menganjurkan protes balas bagi menghalang Himpunan Bersih 2.0 selain mendakwa ia akan menimbulkan huru-hara.

Bersih 2.0: Polis patut kerjasama, bukan tangkap
Aziz Muda http://bm.harakahdaily.net 


KUALA LUMPUR, 15 Jun: Pakatan Rakyat amat kesal dengan tindakan pihak polis yang akan melakukan tangkapan awal atau tangkapan pencegahan terhadap penganjur Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini, memandangkan ia jelas merupakan salahguna kuasa yang dilakukan oleh pihak polis di negara ini.

Tindakan seperti itu tidak sepatutnya dilakukan oleh pihak polis kerana tangkapan yang dilakukan itu bukan sekadar bercanggah dengan amalan demokrasi, tetapi juga melakukan tangkapan terhadap orang yang belum terbukti bersalah.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Himpunan Bersih 2.0 diadakan atas tujuan yang murni bagi mendesak kerajaan melaksanakan pilihan raya yang bersih dan adil di negara ini.

Menurut beliau, pihak polis perlu faham perkara itu dan sepatutnya memberikan kerjasama yang baik kepada pihak penganjur, bukannya dengan menangkap individu yang belum terbukti bersalah bagi menghalang perhimpunan itu.

Katanya, sekiranya tindakan itu dilakukan, rakyat pasti akan menjadi lebih marah kepada kerajaan dan ia dibimbangi akan mencetuskan suasana lebih buruk di tanah air.

"Himpunan itu akan diadakan atas tuntutan rakyat. Kita nak mendesak kerajaan melaksanakan pilihanraya yang bersih dan adil. Kenapa pula polis nak melakukan tangkapan awal? Itu salah dari segi undang-undang," katanya ketika ditemui di lobi bangunan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar, seperti yang dilaporkan media tempatan hari ini.

Dalam laporan itu, Khalid berkata, pihak polis akan melakukan tangkapan awal terhadap pemimpin penganjur Himpunan Bersih 2.0 yang dijadualkan diadakan 9 Julai ini sebagai tangkapan pencegahan.

Menurut Mahfuz, tindakan tersebut jika dilakukan pasti akan turut membangkitkan kemarahan rakyat terhadap pihak polis, sedangkan pihak pembangkang atau Pakatan Rakyat tidak pernah berhasrat untuk bermusuhan dengan pihak polis.

Sementara Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Datuk Johari Abdul ketika ditemui berkata, tindakan tersebut tidak sepatutnya dilakukan oleh pihak polis kerana Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan oleh Gabungan Pilihanraya Adil dan Bersih itu adalah himpunan aman.

"Tujuan himpunan itu diadakan adalah untuk mendesak SPR mengadakan pilihanraya yang bersih dan adil di negara ini dan ia amat perlu didengar oleh SPR dan kerajaan.

"Kalau polis nak lakukan tangkapan awal, siapa yang nak ditangkap? Berapa orang yang nak ditangkap? Apa kesalahan mereka? Mana boleh polis tangkap begitu saja tanpa terbukti orang itu bersalah," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berharap agar tindakan itu tidak akan dilakukan, tetapi menyarankan pihak polis mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan pihak penganjur bagi memberikan kerjasama agar himpunan tersebut dapat diadakan dengan sempurna.

Manakala Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, Jeff Ooi pula berkata, apa pun alasan yang digunakan oleh pihak polis bagi mengadakan tangkapan itu sama ada tangkapan awal atau tangkapan pencegahan, kedua-duanya adalah kesilapan besar jika dilakukan oleh pihak polis.

Menurut beliau, tindakan tersebut jika dilakukan jelas bersalahan dengan amalan demokrasi dan lebih menyerlahkan lagi amalan pemerintahan kuku besi di negara ini oleh kerajaan BN.

"Polis perlu peka perkara itu bukannya melakukan tangkapan awal atau tangkapan pencegahan. Himpunan itu diadakan lanjutan himpunan pertama yang diadakan pada tahun 2007 lalu.

"Menerusi Himpunan Bersih 1.0 tahun 2007 lalu, Bersih menuntut SPR dan kerajaan melaksanakan 4 perkara.

"Antara perkara yang dituntut dilaksanakan oleh SPR adalah penggunaan dakwat dalam pilihanrya, bersihkan daftar pilihanraya dan mansuhkan undi pos.

"Sehingga kini SPR masih tidak melayan tuntutan Bersih itu. Jadi jika himpunan Bersih 2.0 hendak diadakan, kenapa polis pula yang hendak menghalangnya?" tanyanya hairan.

Monday, 13 June 2011

BERHIMPUN ITU HAK SEMUA


Bersih 2.0 diteruskan, Perkasa didakwa ‘macam cara pengganas’

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Pengerusi Jawatankuasa Mobilisasi PAS, Mohamad Sabu menegaskan PAS tidak akan berganjak bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) untuk mengadakan himpunan besar-besaran di ibu negara bulan depan.
Beliau yang juga timbalan presiden PAS (gambar) berkata meskipun kumpulan pendesak Melayu, Perkasa memberi amaran untuk menghalang, namun himpunan tersebut tetap akan diteruskan.
“Kita akan buat terus, dia (Perkasa) nak buat himpunan itu hak dia,” kata beliau dipetik Harakah Daily hari ini.
Terdahulu, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali ketika ditemui wartawan di bangunan Parlimen memberitahu pihaknya akan melawan habis-habisan Himpunan Bersih 2.0 itu.
Sambil menyifatkan himpunan itu sebagai “mengacau”, Ibrahim turut memberi amaran akan membuat himpunan serupa bagi menghalang himpunan Bersih 2.0 tersebut walaupun terpaksa berlaku pertembungan.
Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas juga mendakwa himpunan Bersih itu akan menimbulkan huru hara apabila ada pesertanya membaling batu dan membakar kereta.
Membidas kenyataan Ibrahim itu, Mohamad berkata, bukan Perkasa yang menentukan himpunan tersebut huru-hara atau tidak.
“Itu kerja polis la nak tentukan aman atau tidak. Datuk Ambiga (Pengerusi Bersih), sudah beri jaminan kita akan buat himpunan secara aman,” katanya.
Beliau turut memberi contoh himpunan Bersih 2007 menyaksikan himpunan berlangsung secara aman.
“Perkasa kalau nak buat juga himpunan, buat hari lain la, kita dah cadang tarikh ni lebih awal lagi,” katanya.
Dalam pada itu, ahli jawatankuasa Bersih 2.0 Dr Mohd Hatta Ramli menyifatkan tindakan Perkasa memberi amaran mahu bertembung dengan peserta himpunan Bersih sebagai tidak wajar.
“Kita tak pernah halang Perkasa nak berhimpun. Tapi berhimpun lah untuk memperjuang hak sendiri, bukan sebab nak halang kita semata-mata.
“Ini sudah isytihar perang secara fizikal. Bukan begini caranya, ini cara pengganas,” katanya

Sunday, 12 June 2011

Temubual Dengan Abang Mat - Persoalan Semakin Mendalam

Inilah rahmat kemenangan. Bila persoalan dalam temubual semakin mendalam dan dapat dijawab secara lapang dada dan terbuka, banyak penjernihan dapat ditemukan

Mat Sabu: Zaman sekolah pun orang akan ungkit
Jun 13, 11 Salhan K Ahmad http://www.malaysiakini.com
Tanpa disangka, individu yang melangkah keluar daripada kenderaan Proton Savvy berwarna hijau muda itu merupakan timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu.


Namun beliau tetap kelihatan segak dengan jaket gelap dan rambut tersikat rapi serta senyum yang jarang lekang dari bibirnya.
“Ini sebab nak jumpa duta Syria, kalau tidak saya pakai T-shirt saja,” kata bekas ahli parlimen itu yang kelihatan agak malu-malu dengan pakaiannya hari itu.
Temubual dengan Malaysiakini dijalankan di ruang restoran sebuah hotel di Petaling Jaya – lokasi pertemuan yang difikirkannya sebagai tempat paling "adil" bagi wartawan yang datang dari arah Kuala Lumpur dan beliau sendiri dari Shah Alam.
Isu keadilan merupakan topik utama perbualan pada pagi itu, malah ditegaskannya sebagai satu sebab utama beliau menyertai PAS pada tahun 1982.
Mohamad membuat kesimpulan itu berdasarkan pemerhatiannya ketika berkempen untuk PAS ketika masih bersama pertubuhan Angkatan Belia Islam pada 1978.
Timbalan perdana menteri pada masa itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengehadkan ceramah oleh parti pembangkang dalam kempen pilihan raya pada tahun berkenaan, kata Mohamad lagi dalam temubual pada Rabu lalu.
"(Mahathir) bebas bersyarah di sekolah, padang sekolah dan PAS tak boleh. Waktu itu hanya boleh berceramah dalam rumah. Saya nampak terlalu tak adil. Kalau itu demokrasi di Malaysia maka sangat teruk.

Demi 'demokrasi'

"Jadi saya balik lepas PAS kalah teruk, tinggal dua kerusi sahaja. Saya terus ke pejabat PAS ambil borang jadi ahli pas. Jadi saya sertai PAS bukan sebab dasar Islam atau bukan Umno – atas demokrasi.
"Waktu itu (saya) tak tahu hal-hal dasar (PAS) dan sebagainya, dan perjuangan (untuk) demokrasi dari dulu sampai sekarang," katanya yang popular dengan nama gelaran Mat Sabu.
Atas dasar itulah juga Mohamad meletakkan dirinya sebagai penggerak utama kepada perhimpunan 40,000 rakyat pada November 2007 bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil.
Dalam kedudukannya kini sebagai timbalan presiden, Mohamad Sabu kembali sebagai teraju utama bagi perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai yang telah diluluskan PAS sebagai acara wajib untuk disertai oleh anggota parti itu.
Ketika ditanya, Mohamad berkata beliau yakin untuk terus mendapat sokongan dalam parti walau memegang pendirian yang berbeza dengan pemimpin lain dalam parti itu.
"Tak apa. Pandangan berbeza (anggota parti) suka tapi nak ikut dia payah," katanya sambil tersenyum.
Begitu juga halnya apabila beliau terpaksa menjelaskan pendiriannya untuk tidak menerima gelaran 'Datuk' daripada Istana.
"Orang biasa kalau jumpa selalu kata kami doa Abang Mat dapat (gelaran) 'Datuk'. Saya cuma senyum. Itu adalah pandangan umum sebab mursyidul am (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) pun (terima gelaran) itu, jadi saya berdiam sajalah.
"Kalau bercakap benda ini… ini dah bercakap dah ni, nanti dimarah oleh semua orang," katanya lagi sambil ketawa.

Candu agama

Mohamad sedar pandangannya itu akan menimbulkan kemarahan orang dalam partinya sendiri, namun beliau tetap menjelaskan bahawa kalangan pemimpin dalam PAS yang "mengejar" pangkat berkenaan berbuat demikian kerana melihat gelaran tersebut sebagai satu keperluan.
"Mereka ingat ini perlu, bila ini perlu maknanya kita amalkan sistem kasta... Ini pandangan yang berbeza dengan orang lain.
"Tapi saya tak paksa pandangan saya pada orang lain. Ini hal peribadi saya," katanya yang turut mengaitkan penganugerahan pingat seperti itu dengan sistem kelas dan "pemujaan feudalisme."
Mohamad berkata beliau menyetujui petikan dalam satu teks tersohor oleh pengasas sosialisme moden – Karl Marx – bahawa agama merupakan candu bagi rakyat.
"Saya beri ulasan bahawa paderi-paderi menyokong Tsar zalim (sedangkan) upah pekerja tak dipedulikan. Maknanya kalau mahukan perubahan sosial kena tolak agama, dalam pengertian masa itu, yang menyokong kezaliman," katanya lagi.
Katanya, perkara tersebut ditimbulkan dalam satu perbincangan dengan seorang sarjana Jerman dan beliau kemudiannya dijemput ke negara berkenaan untuk memberikan syarahan dan berdialog dengan ahli akademik di situ.
"Benda macam ini yang (buat) orang tuduh saya aliran lain. Ini yang saya tengok ugama disalah guna, salah erti," katanya lagi yang pernah dilabel sebagai pengikut Syiah.
Tambahnya, beliau begitu kagum dengan Ayatollah Khomeini yang memimpin revolusi Iran pada 1979 – peristiwa yang banyak membentuk pemikirannya.
"Kenapa saya sokong Khomeini? Sebab dia menggunakan agama untuk menggerak perubahan melawan Shah. Tapi sekarang di Malaysia, di Negara arab, lebih seperti candu. Ini cukup kontroversi jika saya bawa pandangan macam ini.
"(Kalau) golongan raja atau orang besar buat kesalahan, ada ulama yang cuba lindungi kesalahan ini. Kalau orang bawah buat?," soalnya.
Pengalamannya ditahan bawah ISA, kali pertama pada 1984 dan kali kedua pada 1987, mengukuhkan lagi pandangannya ke atas aspek keadilan sosial.

'Adinda' Lim Guan Eng

Ketika ditahan kali kedua dalam Ops Lalang, beliau mengambil peluang berkenaan untuk mengukuhkan hubungan dengan pemimpin yang turut ditahan pada waktu itu – terutamanya Lim Guan Eng yang sering dipanggil 'adinda' oleh Mohamad.

Katanya, beliau sering berbual dengan Lim ketika dalam tahanan dan mendapati beliau mempunyai banyak persamaan idea dengan bekas ahli parlimen Kota Melaka itu.
Bagaimanapun, hubungannya dengan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pula nampaknya tidaklah sebaik hubungannya dengan Lim.
Mohamad mengakui bahawa tindakan Anwar yang meninggalkan Abim untuk menyertai Umno pada 1982 telah "memakan hati" anggota pertubuhan berkenaan.
Malah Mohamad turut meninggalkan pertubuhan tersebut sebagai tanda protes ke atas tindakan Anwar menyertai Umno dan kemudiannya menjadi musuh politik "nombor satu" Anwar termasuk bertanding dalam pilihan raya 1986 bagi mencabar Anwar di kerusi parlimen Permatang Pauh.
Hinggakan, beliau sanggup memanggil Anwar yang merupakan timbalan perdana menteri pada masa itu dengan gelaran "Anwar Al-Juburi" da Dewan Rakyat ketika isu skandal liwat tersebut memuncak.
Beliau kemudiannya tidak lagi menyerang Anwar yang juga timbalan presiden Umno pada masa itu apabila Anwar dipecat daripada parti dan menubuhkan Parti Keadilan Nasional bagi membentuk kerjasama dengan PAS.
"Dalam Islam, kata yang benar di depan pemerintah yang zalim, bukan yang pencen. Kalau kita serang Mahathir saja tak guna, kita kena serang Najib, Hishammuddin.

Pasca-'Anwar Al-Juburi'

"Serang orang tak berkuasa tak guna sebab dia tak boleh ubah polisi," katanya lagi ketika diminta menjelaskan pendiriannya terhadap Anwar pada masa itu.
Mohamad berkata, walaupun telah kembali bekerjasama dengan Anwar, beliau sendiri tidak pernah mengadakan pertemuan dengan ketua umum PKR itu melainkan di "pentas-pentas ceramah" 
Mohamad bagaimanapun mengakui bahawa beliau pernah berjumpa Ummi Hafilda Ali yang kemudiannya menjadi saksi utama dalam kes perbicaraan kes liwat melibatkan Anwar.
"(Itu) dulu, saya ada dengar dia bercakap, saya tak bercakap. Dalam Islam, tuduhan begitu kita mesti jaga. Itu sebab dalam ceramah saya tak bercakap isu itu, banyak isu lain," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan terbaru melibatkan rakaman video lucah yang dilemparkan terhadap Anwar, Mohamad berkata bukti terhadap tuduhan berkenaan perlu dikemukakan oleh pihak yang membuat dakwaan itu sendiri.
"Anwar tak mengaku maka pembuktian pada orang menuduh. Pembuktian (kini masih) di awang-awangan. Anwar tak mengaku jadi macam mana nak kata dia (dalam video lucah itu)?," soalnya.
Menyentuh isu khalwat yang dihadapi pada 1995, Mohamad berkata, isu berkenaan telahpun berlalu dan mahkamah juga telah membebabskan beliau daripada tuduhan berkenaan.

Cerita lama

"Saya tak cakap dah cerita itu. Walaupun Umno bangkitkan cerita itu, ia dah berlalu... Mahkamah dah buat keputusan, saya tak mahu cerita balik.
"Biasalah dalam politik ini, walaupun kejadian di sekolah tingkatan lima akan ditimbulkan, tapi saya anggap perkara berlalu," katanya lagi.
Jelasnya, isu berkenaan juga tidak menjejaskan kredibilitinya pada waktu itu memandangkan beliau tetap berjaya memenangi pertandingan bagi kerusi anggota jawatankuasa pusat PAS pada tahun yang sama.
Bekas ahli parlimen Nilam Puri itu turut memenangi kerusi naib presiden pada 2007 dan kini dipilih sebagai timbalan presiden parti.
Ketika dakwaan skandal itu dihangatkan pada 1995, beliau juga berjaya memenangi kerusi parlimen Kubang Kerian dengan lebih 10,000 majoriti undi.
"Perkara ini, (kalau) betul-betul kita lakukan kesalahan, ahli (PAS) dan rakyat akan hukum. Kalau kita cakap pasal rasuah dan bila memerintah buat rasuah lebih berat, rakyat akan hukum," katanya lagi.

Temubual dengan Mohamad Sabu dijalankan Aidila Razak, Lee Way Loon dan Salhan K Ahmad.

Fitnah seks: Musuh sengaja tembak peluru busuk, kata isteri Mat Sabu

June 13, 2011
http://www.themalaysianinsider.com/


KUALA LUMPUR, 13 Jun — Isteri timbalan presiden PAS Mohamad Sabu, Normah Alwi kecewa dan sedih ada pihak “luar” membangkitkan balik fitnah lama melibatkan suaminya sebelum dan selepas muktamar parti itu baru-baru ini.
“Ya, cerita itu muncul kembali sebelum dan selepas muktamar (PAS) terbaru ini. Memang saya amat kecewa, sedih bila suami kembali difitnah, diperkata,” kata Normah dipetik Sinar Harian hari ini.
Dalam temu bual dengan ditemani Mohamad (gambar)yang mesra dikenali “Mat Sabu”, Normah berkata, musuh politik timbalan presiden itu “sengaja menembak peluru busuk.” 


“Mereka menggunakan benda sebegini kerana mereka sendiri bergelumang dengan perkara jijik.


“Mereka sebenarnya tiada isu untuk menjatuhkan suami saya,” kata beliau.


Mohamad menang kerusi nombor dua itu dalam percubaan kali kedua pada pemilihan pusat 3 Jun lalu.
Beliau menewaskan penyandang jawatan Nasharudin Mat Isa dan seorang lagi calon Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Normah, 56, juga berkata kemenangan Mohamad kali ini adalah anugerah Allah.
“Kemenangan akan datang tidak pernah saya bayangkan atau fikirkan.
“Kami juga tidak pernah berbincang sehingga ke tahap itu,” kata Normah menjawab soalan kemungkinan Mohamad akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 dan bergerak ke depan dalam politik selepas ini.
Mohamad pernah menjadi Ahli Parlimen sebelum ini.
“Malah setahu saya bercita-cita menjadi presiden PAS sekalipun suami saya tidak pernah.
“Jika apa yang anda katakan itu berlaku, saya akan terima dan jalani kehidupan seadanya. Beraksi mengikut sepatutnya,” kata beliau lagi.
Mohamad pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dua kali iaitu dari 1984 hingga 1986 dan 1987 hingga 1989.
Kes khalwat pada tahun 1995, sebelum pilihan raya umum ketika itu, muncul lebih “panas” daripada peristiwa-peristiwa lain yang pernah dilalui suami Normah itu.
Beliau telah dibebaskan daripada tuduhan itu.
The Malaysian Insider membawa laporan pagi tadi memetik penganalisis politik meramalkan serangan video seks ke atas Mohamad, pemimpin kedua dari Pakatan Rakyat, akan memberi kesan buruk ke atas parti pesaing mereka.
Minggu lalu, Ahli Parlimen PKR Zuraida Kamaruddin mendedahkan ada menerima satu VCD menerusi peti suratnya, yang tertera gambar Mohamad dengan kata-kata “Skandal Seks Mat Sabu”, dan satu kepala surat palsu bersama logo PAS selain risalah berkaitan video seks didakwa melibatkan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pemimpin-pemimpin PAS mendakwa Umno di belakang perkembangan terbaru itu.
Kata mereka, Umno kelihatan terdesak untuk menyerang PAS dan komponen Pakatan Rakyat susulan keputusan pemilihan pusat parti Islam itu.
Penganalisis politik James Chin dari Universiti Monash berkata, serangan terbaru menggunakan video seks tidak akan membawa impak sama sekali memandangkan kebanyakan rakyat Malaysia sudah pun “penat” dengan taktik sedemikian.
“Strategi menjelang pilihan raya umum ialah ada kumpulan orang yang dibayar untuk menyerang Pakatan Rakyat,” katanya.

Taktik serang Mat Sabu guna skandal seks akan ‘makan diri’ Umno-BN

June 13, 2011
http://www.themalaysianinsider.com 
KUALA LUMPUR, 13 Jun — Penganalisis-penganalisis politik meramalkan serangan video seks ke atas timbalan presiden baru PAS Mohamad Sabu, melibatkan pemimpin kedua dari Pakatan Rakyat (PR), akan memberi kesan buruk ke atas parti pesaing mereka.
Pengarah Centre for Policy Initiatives Dr Lim Teck Ghee berkata, lebih banyak taktik kotor dan usaha mengaibkan dari kedua-dua sebelah perikatan akan muncul memandangkan persekitaran politik semakin “panas” di sebalik spekulasi bahawa pilihan raya umum semakin dekat.
“Ini satu lagi usaha kotor bertujuan merosakkan imej parti-parti politik khususnya seorang pemimpin PAS.
“Memandangkan parti yang memperoleh manfaat adalah Umno, publik akan meragui parti memerintah,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Kata beliau, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) sudah pasti akan menafikan mereka bertanggungjawab manakala media dikawal perikatan itu akan menggunakan isu berkenaan untuk terus melakukan serangan.
“Oleh itu, terserah kepada pemimpin-pemimpin dalam masyarakat untuk mengecam tindakan ini dan mendedahkan pihak-pihak yang mahu mendapatkan manfaat daripadanya,” kata beliau.
Minggu lalu, Ahli Parlimen PKR Zuraida Kamaruddin menerima satu VCD menerusi peti suratnya, yang tertera gambar Mohamad dengan kata-kata  “Skandal Seks Mat Sabu”, dan satu kepala surat palsu bersama logo PAS selain risalah berkaitan video seks didakwa melibatkan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pemimpin-pemimpin PAS mendakwa Umno di belakang perkembangan terbaru itu.
Kata mereka, Umno kelihatan terdesak untuk menyerang PAS dan komponen Pakatan Rakyat susulan keputusan pemilihan pusat parti Islam itu.
Mohamad menewaskan Nasharudin Mat Isa dan seorang lagi calon Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Penganalisis politik James Chin dari Universiti Monash berkata, serangan terbaru menggunakan video seks tidak akan membawa impak sama sekali memandangkan kebanyakan rakyat Malaysia sudah pun “penat” dengan taktik sedemikian.
“Strategi menjelang pilihan raya umum ialah ada kumpulan orang yang dibayar untuk menyerang Pakatan Rakyat,” katanya.
Kata beliau, kebanyakan rakyat sudah membuat keputusan dan pihak yang belum berbuat demikian semakin mengecil.
Chin berkata beliau menjangkakan banyak lagi taktik murahan seperti itu, contohnya video seks Anwar, skandal melibatkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan juga isu membabitkan bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik akan dibangkitkan menjelang pilihan raya umum ke-13.
“. . . tetapi ia akan membawa kesan buruk ke atas (makan diri) mereka,” katanya.
Pandangan itu disetujui oleh penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian sambil berkata, pengundi atas pagar juga tidak berminat dengan isu-isu tersebut.
“Tindakan bergantung pada isu yang sama hanya akan merosakkan parti masing-masing dan dalam kes ini selepas Mat Sabu menang, kemungkinan mahu menghantar mesej bahawa beliau tidak layak secara moral memegang jawatan itu,” katanya.
Beliau menjangkakan lebih banyak taktik akan digunakan untuk memikat persepsi dan sentimen pengundi kawasan luar bandar.
“Ia cara murahan untuk mendapatkan undi dalam landskap politik semasa,” kata beliau sambil menambah, parti-parti politik perlu menggunakan pendekatan sofistikated untuk memenangi hati pengundi kawasan luar bandar.