Mat Sabu: PAS tak perlu minta maaf, Khaled Nordin merapu
June 11, 2011
KUALA LUMPUR, 11 Jun — Mohamad Sabu menegaskan PAS tidak perlu meminta maaf berhubung konsep negara berkebajikan dibawa parti itu sambil menyifatkan kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kelmarin sebagai “merapu.”
Timbalan Presiden PAS berkata, gesaan pemimpin Umno itu yang meminta agar PAS memohon maaf kepada Umno merupakan kenyataan yang sengaja dibuat menjelang pilihan raya umum.
“Nak buat apa minta maaf. Mereka ini merapulah. Ini kenyataan orang yang pening. Kenyataan ini biasalah...kenyataan menjelang pilihan raya. PAS tak nak respons. Sebab ini bukan kenyataan rasmi. Ini kenyataan biasa,” katanya ketika dihubungiThe Malaysian Insider.
Berdasarkan laporan media semalam, Khaled dipetik berkata, PAS yang selama ini memperjuangkan dasar menegakkan Islam tetapi mengetengahkan konsep negara berkebajikan sewajarnya meminta maaf kepada Umno kerana sering menuduh parti pemerintah itu tidak betul dan pelbagai tuduhan lain termasuk mengkafirkan mereka yang tidak mengikut perjuangan parti itu.
Khaled juga berkata, PAS perlu berbuat demikian kerana pelbagai tuduhan mereka itu menyebabkan rakyat terutama masyarakat Melayu berpecah belah dan keadaan negara tidak tenteram.
Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib pula menegaskan partinya tidak perlu meminta maaf kepada Umno seperti diminta Khaled. Pesuruhjaya PAS Terengganu ini memberitahu semua dakwaan PAS terhadap Umno selama ini adalah benar.
“Semua dakwaan PAS kepada Umno betul. Sehingga kini Umno tidak menerima Islam sebagai dasar negara. Lihat sahaja undang-undang, dasar ekonomi, pendidikan, pentadbiran masih belum menjadikan Islam sebagai dasarnya.
“Kenyataan PAS sebelum ini adalah benar dan PAS tak perlu meminta maaf,” katanya lagi.
| Negara berkebajikan, mesra pelabur - Presiden |
| Nazri Abdullah |
KUALA LUMPUR, 11 Jun: Konsep 'negara berkebajikan' yang mahu dilaksanakan PAS jika diberi mandat memerintah negara bersama rakan Pakatan Rakyat, diyakini mampu menarik minat pelabur asing melabur di negara ini.Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, minat pelabur itu akan didorong oleh keyakinan mereka terhadap pengurusan ekonomi negara yang sihat iaitu bebas rasuah, tiada salah guna kuasa dan berintegriti seperti yang dianjur Islam.
Hasil dari pengamalan urus tadbir yang baik itu juga, sekaligus akan menambah pendapatan negara.
"Dalam negara berkebajikan, cukai dipungut mengikut perkembangan, rasuah tidak ada, pelabur suka datang.
"Dengan sendiri hasil negara bertambah. Ini caranya," katanya melalui laman Facebook.
Beliau menjelaskan demikian dipercayai sebagai menjawab persoalan yang ditimbulkan pemimpin Umno BN berhubung konsep negara berkebajikan yang menjadi tema ucapan dasar presiden PAS pada Muktamar parti itu yang ke 57 minggu lalu.
Pemimpin Umno termasuk Datuk Seri Najib Razak sebelum ini turut memperkecil hasrat PAS yang mahu memperkenal konsep negara berkebajikan tersebut dan mendakwa BN sudah lama mengamalkannya.
Bagaimanapun Timbalan Presiden PAS yang baru, Mohamad Sabu membidas kenyataan itu dengan mendakwa BN mengamal pemerintahan diktator dan bukannya negara berkebajikan.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata konsep negara berkebajikan yang mahu diperkenal PAS berbeza dengan yang didakwa Najib bahawa sudah diamal Umno.
Katanya konsep negara berkebajikan itu mempunyai elemen yang lebih murni dalam menyelamatkan negara kerana PAS akan menerapkan konsep halal dan haram dalam pelaksanaannya dan tidak seperti Umno.
"Disinilah kuasa barat takut, bimbang dengan pemerintahan Islam," tegasnya

No comments:
Post a Comment