About This Blog

Bermula dengan rasa kagum dan terdorong, Blog ini didedikasi untuk saudara Muhammad bin Sabu, seorang pejuang rakyat sekian lama dan seorang ahli politik Islam di Malaysia. Blog ini mengongsi pelbagai topik kemasyarakatan, topik berkaitan Muhammad Sabu dan perjuangannya. Saya amat berbesar hati jika pelawat semua dapat kongsikan maklumat yang berkaitan dengan tema blog ini

Sunday, 12 June 2011


Fitnah seks: Musuh sengaja tembak peluru busuk, kata isteri Mat Sabu

June 13, 2011
http://www.themalaysianinsider.com/


KUALA LUMPUR, 13 Jun — Isteri timbalan presiden PAS Mohamad Sabu, Normah Alwi kecewa dan sedih ada pihak “luar” membangkitkan balik fitnah lama melibatkan suaminya sebelum dan selepas muktamar parti itu baru-baru ini.
“Ya, cerita itu muncul kembali sebelum dan selepas muktamar (PAS) terbaru ini. Memang saya amat kecewa, sedih bila suami kembali difitnah, diperkata,” kata Normah dipetik Sinar Harian hari ini.
Dalam temu bual dengan ditemani Mohamad (gambar)yang mesra dikenali “Mat Sabu”, Normah berkata, musuh politik timbalan presiden itu “sengaja menembak peluru busuk.” 


“Mereka menggunakan benda sebegini kerana mereka sendiri bergelumang dengan perkara jijik.


“Mereka sebenarnya tiada isu untuk menjatuhkan suami saya,” kata beliau.


Mohamad menang kerusi nombor dua itu dalam percubaan kali kedua pada pemilihan pusat 3 Jun lalu.
Beliau menewaskan penyandang jawatan Nasharudin Mat Isa dan seorang lagi calon Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Normah, 56, juga berkata kemenangan Mohamad kali ini adalah anugerah Allah.
“Kemenangan akan datang tidak pernah saya bayangkan atau fikirkan.
“Kami juga tidak pernah berbincang sehingga ke tahap itu,” kata Normah menjawab soalan kemungkinan Mohamad akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 dan bergerak ke depan dalam politik selepas ini.
Mohamad pernah menjadi Ahli Parlimen sebelum ini.
“Malah setahu saya bercita-cita menjadi presiden PAS sekalipun suami saya tidak pernah.
“Jika apa yang anda katakan itu berlaku, saya akan terima dan jalani kehidupan seadanya. Beraksi mengikut sepatutnya,” kata beliau lagi.
Mohamad pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dua kali iaitu dari 1984 hingga 1986 dan 1987 hingga 1989.
Kes khalwat pada tahun 1995, sebelum pilihan raya umum ketika itu, muncul lebih “panas” daripada peristiwa-peristiwa lain yang pernah dilalui suami Normah itu.
Beliau telah dibebaskan daripada tuduhan itu.
The Malaysian Insider membawa laporan pagi tadi memetik penganalisis politik meramalkan serangan video seks ke atas Mohamad, pemimpin kedua dari Pakatan Rakyat, akan memberi kesan buruk ke atas parti pesaing mereka.
Minggu lalu, Ahli Parlimen PKR Zuraida Kamaruddin mendedahkan ada menerima satu VCD menerusi peti suratnya, yang tertera gambar Mohamad dengan kata-kata “Skandal Seks Mat Sabu”, dan satu kepala surat palsu bersama logo PAS selain risalah berkaitan video seks didakwa melibatkan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pemimpin-pemimpin PAS mendakwa Umno di belakang perkembangan terbaru itu.
Kata mereka, Umno kelihatan terdesak untuk menyerang PAS dan komponen Pakatan Rakyat susulan keputusan pemilihan pusat parti Islam itu.
Penganalisis politik James Chin dari Universiti Monash berkata, serangan terbaru menggunakan video seks tidak akan membawa impak sama sekali memandangkan kebanyakan rakyat Malaysia sudah pun “penat” dengan taktik sedemikian.
“Strategi menjelang pilihan raya umum ialah ada kumpulan orang yang dibayar untuk menyerang Pakatan Rakyat,” katanya.

Taktik serang Mat Sabu guna skandal seks akan ‘makan diri’ Umno-BN

June 13, 2011
http://www.themalaysianinsider.com 
KUALA LUMPUR, 13 Jun — Penganalisis-penganalisis politik meramalkan serangan video seks ke atas timbalan presiden baru PAS Mohamad Sabu, melibatkan pemimpin kedua dari Pakatan Rakyat (PR), akan memberi kesan buruk ke atas parti pesaing mereka.
Pengarah Centre for Policy Initiatives Dr Lim Teck Ghee berkata, lebih banyak taktik kotor dan usaha mengaibkan dari kedua-dua sebelah perikatan akan muncul memandangkan persekitaran politik semakin “panas” di sebalik spekulasi bahawa pilihan raya umum semakin dekat.
“Ini satu lagi usaha kotor bertujuan merosakkan imej parti-parti politik khususnya seorang pemimpin PAS.
“Memandangkan parti yang memperoleh manfaat adalah Umno, publik akan meragui parti memerintah,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Kata beliau, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) sudah pasti akan menafikan mereka bertanggungjawab manakala media dikawal perikatan itu akan menggunakan isu berkenaan untuk terus melakukan serangan.
“Oleh itu, terserah kepada pemimpin-pemimpin dalam masyarakat untuk mengecam tindakan ini dan mendedahkan pihak-pihak yang mahu mendapatkan manfaat daripadanya,” kata beliau.
Minggu lalu, Ahli Parlimen PKR Zuraida Kamaruddin menerima satu VCD menerusi peti suratnya, yang tertera gambar Mohamad dengan kata-kata  “Skandal Seks Mat Sabu”, dan satu kepala surat palsu bersama logo PAS selain risalah berkaitan video seks didakwa melibatkan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pemimpin-pemimpin PAS mendakwa Umno di belakang perkembangan terbaru itu.
Kata mereka, Umno kelihatan terdesak untuk menyerang PAS dan komponen Pakatan Rakyat susulan keputusan pemilihan pusat parti Islam itu.
Mohamad menewaskan Nasharudin Mat Isa dan seorang lagi calon Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Penganalisis politik James Chin dari Universiti Monash berkata, serangan terbaru menggunakan video seks tidak akan membawa impak sama sekali memandangkan kebanyakan rakyat Malaysia sudah pun “penat” dengan taktik sedemikian.
“Strategi menjelang pilihan raya umum ialah ada kumpulan orang yang dibayar untuk menyerang Pakatan Rakyat,” katanya.
Kata beliau, kebanyakan rakyat sudah membuat keputusan dan pihak yang belum berbuat demikian semakin mengecil.
Chin berkata beliau menjangkakan banyak lagi taktik murahan seperti itu, contohnya video seks Anwar, skandal melibatkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan juga isu membabitkan bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik akan dibangkitkan menjelang pilihan raya umum ke-13.
“. . . tetapi ia akan membawa kesan buruk ke atas (makan diri) mereka,” katanya.
Pandangan itu disetujui oleh penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian sambil berkata, pengundi atas pagar juga tidak berminat dengan isu-isu tersebut.
“Tindakan bergantung pada isu yang sama hanya akan merosakkan parti masing-masing dan dalam kes ini selepas Mat Sabu menang, kemungkinan mahu menghantar mesej bahawa beliau tidak layak secara moral memegang jawatan itu,” katanya.
Beliau menjangkakan lebih banyak taktik akan digunakan untuk memikat persepsi dan sentimen pengundi kawasan luar bandar.
“Ia cara murahan untuk mendapatkan undi dalam landskap politik semasa,” kata beliau sambil menambah, parti-parti politik perlu menggunakan pendekatan sofistikated untuk memenangi hati pengundi kawasan luar bandar.

No comments:

Post a Comment