Henti salahkan pengundi tak pilih BN, kata ahli MT Umno
Sebaliknya tegas beliau, setiap pihak perlu menghormati hak pengundi untuk memilih mana-mana parti yang mereka inginkan.
“Dengan penuh rendah diri, saya menyeru rakan-rakan dalam BN supaya tidak menyalahkan atau menuduh mereka yang tidak mengundi BN dalam mana-mana pilihan raya sebagai tidak bersyukur kepada kerajaan BN,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
“Kita perlu menerima apa jua keputusan pengundi dengan berlapang dada walaupun keputusan tersebut tidak memihak kepada parti kita,” kata beliau mengulas tindakan pihak-pihak tertentu termasuk pertubuhan bukan kerajaan Melayu yang menuding jari, malah mahu masyarakat CIna di Sarawak dihukum kerana memperlihatkan sokongan kuat kepada DAP, parti komponen Pakatan Rakyat, ketika pilihan raya negeri 16 April lalu.
Selain undi populariti, kerusi dimenangi DAP meningkat dua kali ganda berbanding pilihan raya negeri 2006.
Di Sarawak, BN memperoleh 55 kerusi manakala Pakatan Rakyat 15 dan Bebas satu.
Akhbar-akhbar milik Umno juga menyatakan pendirian sedemikian agar BN tidak lagi bertindak sebagai “pemurah” kepada kaum Cina ekoran perkembangan di Sarawak.
Sejak selepas pilihan raya umum 2008, arah aliran sokongan masyarakat Cina kepada BN tidak banyak berubah.
Pandangan agar BN bertindak ‘keras’ terhadap pengundi-pengundi CIna juga disaksikan selepas pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor awal tahun lalu.
Kerusi itu disampas balik oleh BN, tetapi majoriti undi masyarakat Cina masih kekal di pihak pembangkang.
Saifuddin yang juga timbalan menteri berkata, “sebagai ahli parti BN, saya percaya kita telah melakukan yang terbaik untuk memenangi hati rakyat tanpa mengira kaum dalam setiap pilihan raya kecil termasuklah pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini.”
“YAB Perdana Menteri sendiri telah memperkenalkan pelbagai pendekatan baru dalam menawan hati rakyat semua kaum.
“Saya optimis sekiranya BN konsisten dengan usaha-usaha kita sekarang, BN akan memenangi semula hati rakyat semua kaum,” katanya.
Justeru soal Ahli Parlimen Temerloh ini, jika setiap pihak memilih untuk menyalahkan pengundi-pengundi terbabit khususnya masyarakat Cina, bagaimana parti-parti BN hendak berhadapan dengan mereka dalam pilihan raya akan datang.
“Bagaimana jika pada ketika itu mereka menempelak kita? Bagaimana jika kali ini mereka pilih pembangkang hanya sebagai protes sahaja, tapi, dek kerana cara negatif kita itu, maka mereka terus menerus pilih pembangkang kerana tindak-tanduk kita,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Bernama Online memetik Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata, parti teras BN itu yakin masyarakat Cina di seluruh negara terutama di Pulau Pinang akan kembali menyokong BN dan terus mengukuhkan kedudukan parti itu sebagai parti pemerintah di Malaysia.
Katanya, walaupun sokongan daripada masyarakat cina ketika ini dilihat merosot, beliau yakin perkara itu tidak akan berpanjangan.
“Saya percaya orang cina adalah kumpulan masyarakat yang menghargai apa yang telah dibuat oleh kerajaan dan mereka juga antara yang menerima kemudahan kelas pertama kerana tinggal di bandar.
“Justeru, saya yakin dan positif terhadap orang Cina serta percaya mereka akan kembali menyokong BN kerana pandangan serta pemikiran mereka akan berubah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jamuan 1Malaysia anjuran Umno Bahagian Batu Kawan di Juru malam tadi.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa memberi kemudahan dan bantuan yang sama rata kepada semua kaum di negara ini.
KUALA LUMPUR, 18 April — Meskipun gagal mencapai keputusan yang disasarkan tetapi Pakatan Rakyat (PR) berjaya “menanam benih politik murni” supaya penduduk Sarawak meninggalkan politik perkauman sempit, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.Pada pilihan raya negeri ke-10 kelmarin, Barisan Nasional (BN) mengekalkan kuasa kerajaan negeri dengan memperoleh 55 kerusi manakala PR 15 dan Bebas satu.
PR menggandakan kerusi dan undi popular yang diperoleh mereka kali ini berbanding lima tahun lalu.
“Pilihan raya negeri Sarawak 2011 membuktikan perjuangan menuntut keadilan untuk semua tanpa mengira batas kaum mahupun kepercayaan bukanlah tugas mudah, namun ia juga bukan mustahil.
“Walaupun tidak mengecapi keputusan yang diingini, kita berjaya menanam benih politik murni agar rakyat Sarawak meninggalkan politik perkauman sempit, berani melawan kezaliman yang sekian lama membelenggu dan berusaha memperkukuh amalan demokratik,” kata beliau dalam entri terbaru blognya.
Ketua Umum PR itu menambah, hakikat yang tidak dapat dinafikan sepanjang tempoh berkempen, berbekalkan sumber yang terhad serta berilitizam dengan kempen yang bersih, PR tetap berjaya menembusi kawasan pendalaman, yang sentiasa dianggap kubu kuat BN.
Dalam kenyataan ringkasnya ini, Anwar yang juga Ketua Umum PKR menenangkan pengikut dan penyokongnya bahawa keputusan kali ini bukanlah satu pengakhiran, bahkan yakinlah ia satu permulaan kepada satu tuntutan perubahan yang jitu dan menyeluruh.
“Pastinya ini tidak dapat dicapai sekiranya rakyat Sarawak tidak bersama sama memastikan ia terlaksana.
“Saya menyeru kepada rakyat Sarawak yang mahukan perubahan dan cintakan keadilan, tingkatkan usaha, jangan sesekali berputus asa, terus mara dan pastikan rejim yang korup ini tumbang pada pilihan raya yg akan datang,” katanya Ketua Pembangkang ini.
PR bertanding dengan 47 calon PKR, DAP 15 dan PAS lima dalam pilihan raya paling sengit dalam sejarah Sarawak ini. Seramai 213 bertanding kali ini.
Anwar juga berkata sekali lagi kredibiliti dan integriti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tercalar kerana wujudnya laporan bahawa agensi itu bertindak berat sebelah ataupun sengaja menutup mata terhadap sebarang penipuan ketika hari pengundian.
“Saya difahamkan petugas PKR dinafikan Borang 14 di beberapa kawasan sedangkan borang ini penting untuk memastikan keputusan pilihan raya bersih dari penipuan,” katanya.
Selain itu kata beliau, terdapat juga laporan wujudnya usaha membeli undi di beberapa kawasan seperti Dudong, Bawang Assan dan Meradong.
Kata Anwar, keengganan SPR untuk mengira semula undi bagi kerusi Senadin ternyata mengukuhkan lagi dakwaan ramai bahawa SPR bertindak demi kepentingan BN.
“Calon PKR Dr Michael tewas dengan majoriti yang tipis iaitu 58 undi sahaja. Mengapa enggan mengira semula tanpa memberi alasan yang munasabah?’ katanya lagi.
Laporan media menyebut PKR bercadang memfailkan petisyen untuk mencabar keputusan bagi kerusi Senadin.
Teo kalah tipis kepada Datuk Lee Kim Shin daripada BN.
Naib Presiden PKR Tian Chua menyuarakan rasa tidak puas hati beliau berikutan keengganan Pegawai Pengurus Pilihan raya Chai Ko Het supaya undi dikira semula di pusat penjumlahan undi.
Lee memperoleh sejumlah 7,334 undi manakala Teo pula meraih 7,276 undi.
No comments:
Post a Comment